Monday, January 13, 2014


Cadangan wakil rakyat DAP untuk membawa usul meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988 bakal memberi kesan terhadap hubungan parti itu dengan PAS dan PKR yang mengetuai kerajaan negeri, demikian kata seorang ahli akademik.
  
Dr Amini Amir Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berpendapat perkara itu menjadi ujian terbesar dalam menguji kredibiliti dan pegangan agama wakil rakyat beragama Islam dari Pas dan PKR, sekiranya benar-benar diusulkan pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang.
  
Beliau berkata, wakil kedua-dua parti itu tentunya tidak boleh lagi 'bermuka-muka' dalam hal agama demi menjaga 'air muka' DAP kerana sebagai orang Islam, 26 wakil rakyat Melayu Islam, membabitkan 15 dari PAS dan 11 PKR itu tentunya perlu menunjukkan solidariti dalam kewajipannya mempertahankan kesucian agama Islam, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.
  
"Tentu sekali cadangan itu bakal menguji hubungan antara DAP-PAS-PKR, selain mengukur sejauh mana kredibiliti orang agama dalam PAS dan PKR di Selangor. Jika usul ubah enakmen itu betul-betul terjadi, malah jika ditambah tiga ADUN PKR bukan beragama Islam, DAP masih perlukan undi daripada ADUN lain bagi membolehkan enakmen itu diubah.
  
"Jadi, di sinilah kesepakatan dan kekuatan politik wakil rakyat PAS dan PKR akan diuji sama ada untuk menyokong atau sebaliknya kerana saya yakin 12 orang wakil Barisan Nasional tentunya akan menolak usul berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Amini Amir mengulas cadangan ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin, Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dan Adun Kampung Tunku Lau Weng San mencadangkan agar enakmen itu dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga.
  
Cadangan itu tercetus dipercayai susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sejumlah naskah Bible berbahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah ALLAH dalam serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia di Damansara pada Khamis lepas.
  
Setelah berlarutan sekian lama, isu kalimah ALLAH kembali hangat selepas pengarang majalah mingguan Katolik 'The Herald" Paderi Lawrence Andrew berkeras bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya meskipun Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah beberapa kali menitahkan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh mana-mana agama bukan Islam di negeri itu.
  
Amini Amir berkata, walaupun yakin wakil rakyat Pas dan PKR yang beragama Islam akan menolak usul pindaan itu, beliau berpendapat mereka perlu tampil menyatakan sokongan dan menolak secara terbuka cadangan itu supaya wakil DAP segera membatalkan hasrat untuk berbuat demikian.
  
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia itu berkata tindakan sedemikian mampu memberi isyarat kepada mana-mana pihak bahawa sebarang cubaan untuk mempermainkan perkara yang berkaitan agama Islam akan ditolak, dan kesatuan itu tidak boleh diganggu-gugat walaupun ia boleh memberi kesan sementara kepada hubungan antara parti berkenaan.

Amini Amir juga menasihatkan wakil DAP yang ingin berbuat demikian supaya mengambil kira kedudukan Jawatankuasa Kerja Eksekutif (CEC) parti itu yang sehingga kini belum diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS).
  
"Mereka tahu parti itu tidak boleh berfungsi sehingga diiktiraf ROS, malah mereka juga mungkin faham bahawa ketidaksahihan itu boleh menyebabkan hak untuk mengemukakan usul boleh dipertikai anggota dewan yang lain," katanya dan menambah ia boleh menjadi usul haram berdasarkan status CEC itu.  
  
Berhubung kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi semalam bahawa Paderi Andrew tidak perlu memohon maaf atas kenyataannya untuk terus menggunakan kalimah ALLAH, Amini Amir berkata perkara itu perlu bagi meredakan kemarahan orang Islam, dan lebih utama menunjukkan kepatuhan terhadap titah Sultan dan perintah mahkamah.
  
Beliau berkata, Andrew sepatutnya mencontohi tindakan seorang peguam yang membuat permohonan maaf secara terbuka keceluparannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi diperlahankan pada Januari 2011, sekaligus mengelak pertikaian antara kaum dan agama berpanjangan.
  
Akur bahawa dialog berterusan antara agama adalah penting, Amini Amir bagaimanapun mengingatkan bahawa permohonan maaf yang dibuat boleh memberi nilai tambah kepada dialog yang bakal dilangsungkan kelak.
  
"Demi untuk kehamornian, beliau perlu segera memohon maaf kerana jika dialog diteruskan ketika kemarahan satu pihak masih menyala, ia tentunya tidak akan memberikan apa-apa...dialog melibatkan agama memerlukan suasana yang tenang dengan semua pihak mengosongkan fikiran tanpa ada bibit kemarahan," katanya.


Apakah penyokong Islam Pakatan Pembangkang bersetuju dengan tindakan dan kenyataan ADUN DAP berhubung gesaan pindaan meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.

0 comments:

Post a Comment

POPULAR ARTIKEL